|Pengenalan||Sewaktu Mengandung||Selepas Lahir|

Selepas Lahir

Adat-adat berikut diamalkan oleh masyarakat Cina selepas melahirkan bayi.

Berpantang

Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat Cina. Anak tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan. Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Bayi yang baru lahir selalu diperhatikan bentuk fizikalnya oleh orang-orang tua. Mereka akan mengaitkan telinga yang lebar dan tebal sebagai bakal menjalani kehidupan yang kaya. Masyarakat Cina mempercayai sekiranya terdapat lebih daripada satu pusar di atas kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar kata.

Dari segi pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin disamping menguatkan semula tenaga.

Kenduri

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri iaitu apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai merah kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat. Mereka yang mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu-ibu.

Mencukur Rambut

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga mengamalkan adat mencukur rambut Mereka mencukur rambut bayi kerana beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara. Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk menumbuhi rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.

Memberi Nama

Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi di kalangan adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Sistem nama yang baik perlu mengambil kira makna , unsur Yin dan Yang serta dibuat mengikut perhitungan matematik Cina. Terdapat lima aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam memberi nama bayi yang baru lahir.

Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan.

Bunyi nama mestilah sedap didengar.

Nama mestilah dibuat berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan seelok-eloknya sepadan.

Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur Yin dan Yang yang sama berat.

Nama mestilah mempunyai lima unsur iaitu emas, air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.

Oleh yang demikian, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang yang mengandungi unsur Yin dan Yang. Kegagalan memberikan nama yang baik juga akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, samada akan ditimpa kecelakaan atau mendapat kesejahteraan.

Kerumitan orang Cina memilih nama yang sesuai untuk seseorang bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa yang agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat yang terpaksa merujuk kepada kitab-kitab tertentu.