|Pengenalan||Sewaktu Mengandung||Bersalin||Selepas Lahir|

Pengenalan

Bagi masyarakat Orang Asli, adat resam semasa hamil amat dititik beratkan, seperti juga adat-adat berkaitan aspek kehidupan yang lain. Terdapat sedikit persamaan dengan adat resam masyarakat Melayu terutamanya dalam beberapa adat kelahiran tertentu di kalangan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Melayu Asli. Berikut dipaparkan adat resam kelahiran yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli secara ringkas yang merangkumi peringkat sewaktu mengandung, semasa bersalin dan selepas lahir secara ringkas.

Sewaktu Mengandung

Di kalangan masyarakat Orang Asli terutamanya dari suku kaum Melayu Asli, wanita yang mengandung akan menempah seorang bidan yang akan membantu wanita berkenaan ketika bersalin. Ketika kandungan berusia tujuh bulan , bidan yang dipilih itu perlu melakukan upacara melenggang perut. Upacara itu akan dijalankan oleh mak bidan yang akan menjampi wanita yang mengandung itu bertujuan untuk mengusir sebarang semangat jahat dan gangguan lain bagi menjamin keselamatan ibu serta bayi. Di samping itu, adat ini juga penting untuk menentukan kandungan berada di kedudukan yang betul agar memudahkan proses bersalin kelak. Kelazimannya adat ini akan disertai dengan sedikit jamuan makan.

Selain adat tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari oleh wanita mengandung dan berikut adalah beberapa pantang larang yang masih diamalkan oleh masyarakat Orang Asli.

Wanita mengandung tidak boleh mentertawakan binatang seperti monyet kerana dikhuatiri muka dan perlakuan bayi akan menyamai haiwan berkenaan.

Mereka dilarang memakan ikan yang bewarna merah kerana dikhuatiri berlakunya tumpah darah ketika melahirkan bayi.

Wanita mengandung juga dilarang bekerja pada waktu subuh dan maghrib kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan kelihatan tidak bermaya kerana semangatnya telah terganggu.

Mereka dilarang mengetuk paku pada kayu di sebelah petang kerana dikhuatiri bayi atau ibu akan sakit atau mati