
Gasing
popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan
seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu
dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.
Jenis-jenis
Gasing
Jenis
gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring
atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu,
gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.
Membuat Gasing
Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau
darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak
mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan,
penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati
seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk
membuat gasing.
Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk
gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi
dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya
dapat dilakukan ketika melarik.
Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti
melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing
itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah
indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala
gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper
atau untuk gasing uri sahaja.
Cara Bermain
Gasing
dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing
uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk
gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya
berpusing.
Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan
sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya,
kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta
pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.
Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga
5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan
gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan
itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.
Pertandingan Gasing
Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri lebih
bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.
Gasing Uri
Dua
orang pembantu diperlukan dalam pertandingan gasing uri; seorang memegang
cokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu
dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang. Lopok juga
diperbuat danipada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang,
45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5
cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk
bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah
yang keras.
Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok
yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama
dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing
lebih daripada satu jam.
Gasing Pangkah
Gasing jenis ini pula dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri
daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan
pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang
mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.
Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah
pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing
mereka ke tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah
gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk salah
satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing
lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya
supaya cepat berhenti berpusing.
Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai
pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan
ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu
gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah
tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini
menjadi pasukan menanti pula.
