Konda-kondi
juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan
kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis
kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan
ini memerlukan kawasan lapang.
Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu
kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini
berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil
anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek
bagi meletakkan kayu panjang.
Undian secara 'wan to som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan
pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.
Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang
lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya
melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang
lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut
kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika
pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan
yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula
oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya,
mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang
ataupun mengena kayu panjang.
Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang
yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira
mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak
mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan
mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu
panjang dikira satu mata.
Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara,
kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak
tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat.
Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain
tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh
dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Permainan Ketiga
Seterusnya,
pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular.
Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk
hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat
dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah
bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan
menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata,
iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap
sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi
perlawanan ini.

