
Permainan
sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga
menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang
Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya
akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat
seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.
Cara
Bermain
Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu
bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung
bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola
itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke
arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan
itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya
tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut
ditamatkan.
Menimang
Bola
Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman
mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan
kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa
selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali
dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan.
Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh
yang ditetapkan, dikira menang.
Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan
nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan
oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw
terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal
bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian
hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang
lawan.

