 |
 |
 |
 |
 |

Pengenalan
Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan
masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik
Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan
melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza
dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas
kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan
yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara
kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk
diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan
ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak
dan masyarakat Orang Asli.
Sejarah Ukiran
Kayu Melayu
 |
Ukiran
kayu
berbentuk wau
|
Ukiran
merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir
di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam
Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada
sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu sudah
memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti
istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan
peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran.
Hingga kini peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah
dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan pada istana-istana tersebut.
Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling
ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan
Negeri Sembilan.
Teknik dan Gaya
Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan
satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai
kayu. Tiga teknik utama dan gaya di dalam seni ukiran Melayu ialah tebuk
terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran juga ada tiga jenis
utama iaitu bujang, lengkap dan pemidang
Bentuk Bujang
Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung.
Biasanya bentuk ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntuk
bunga ataupun putik buah.
Bentuk Pemidang
Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan
tidak berbelit-berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.
Ukiran-ukiran
yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik
pulang petang, badak mudik, setampuk manggis dan lain-lain. Biasanya Bentuk
pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda yang terdapat
di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.
Bentuk Lengkap
Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang.
Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang,
buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.
Alat dan Motif
Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji, ketam,
tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi
kepada beberapa jenis ;
Motif
makhluk halus, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik
dan itik pulang petang)
Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti
bintang, matahari, bulan dan bukit bukau
Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga yang disusun
berderet. Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur
tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini terdapat pada alat-alat tembikar,
sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.
Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab, terutamanya
petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di ambang
pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat keagamaan seperti
rehal.
Penggunaan
Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada
rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana-istana
raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat
permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot seperti almari,
katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat-alat
senjata, peralatan memasak, peralatan pertukangan dan pengangkutan tradisi
seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.
 
|
 |
 |
 |
 |
 |
 |