Cangkul atau penggali merupakan alat tradisional yang digunakan untuk
pertanian. Walaupun kini sudah terdapat pelbagai jenis jentera bajak
moden namun penggunaan cangkul masih lagi diperlukan bagi setengah-setengah
kerja di kebun atau di sawah. Cangkul kebiasaannya digunakan untuk
merata, menggembur dan memecahkan tanah.
Cangkul mempunyai pelbagai jenis bentuk pemegang atau hulu yang diperbuat
daripada kayu. Ada hulu berbentuk lurus dan ada juga yang berbentuk
bengkok. Matanya pula diperbuat daripada besi. Terdapat pelbagai jenis
cangkul yang dikenali sebagai cangkul betul (lurus) dan cangkul burung
yang lebih dikenali sebagai alabangka. Cangkul lurus digunakan untuk
menggali lubang yang sempit seperti turus pagar atau untuk menanam
tiang. Cangkul burung pula digunakan untuk memecahkan tanah yang keras
atau merejang batu.
Petani di kampung lazimnya menggunakan cangkul bagi menggemburkan
tanah sebelum bercucuk tanam. Tanaman yang diusahakan seperti ubi,
keledek, keladi, sayur-sayuran, tebu dan sebagainya.