Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur terletak di persimpangan Jalan Bangsar dan Jalan Kuching. Ia telah direka bentuk oleh arkitek British, A.B. Hubback pada tahun 1913. Bangunan ini telah siap pada bulan November 1917 dengan kos pembinaan sebanyak RM780,422.00.
Bangunan ini sekarang menempatkan sebuah stesen keretapi, pejabat KTM Berhad dan Hotel Heritage. Bangunan ini telah mengalami dua peristiwa yang mengganggu gugat kestabilannya. Semasa Perang Dunia Kedua sayap utara bangunan ini telah musnah terkena bom dan pada tahun 1968 pula, tingkat dua bangunan telah mengalami kebakaran.
Pada tahun 1983, bangunan ini telah diisytiharkan sebagai monumen lama dan bersejarah dan dilindungi undang-undang. Kehadiran bangunan ini bukan saja penting untuk membuka Kuala Lumpur sebagai “hub” pengangkutan di Semenanjung Malaysia, bahkan telah mengangkat nama negara kerana mempunyai bangunan yang menarik dan melambangkan kewujudan pelbagai masyarakat di dalamnya.
|